7/1/11

TULIS CINTA DALAM HATI




TULIS CINTA DALAM HATI
Terbitan: PTS Litera Sdn Bhd
Tarikh terbit: Jun 2011
Genre: Novel Umum / Remaja
Halaman: 268
Harga: RM17.00


***

Saya Mai. Umur saya 19 tahun. Saya tidak seperti remaja lain yang sangat percaya dan yakin pada cinta. Saya tidak percaya pada cinta! Benarkah? Aneh, bukan?

Saya ada tiga orang ibu; Mak, Umi dan Mak Cik Nita. Saya punya tiga orang ayah; Bak, Abah dan Pak Cik Yusman. Tetapi saya masih rasa aneh, mengapa langsung tiada cinta dalam hati saya?

Saya sedang berusaha menulis kata ‘cinta’ dalam diari hati saya. Mampukah saya? Inilah kisah saya!

***

FRAGMEN NOVEL

SAYA tidak percaya pada cinta. Saya ingin tegaskan, saya memang tidak yakin pada cinta. Tidak percaya? Orang kata saya aneh. Saya baru berusia 19 tahun tetapi saya sudah amat anti pada kalimah cinta. Saya amat geli-geleman dan rasa merinding bulu roma apabila mendengar orang bercakap mengenai cinta.

Selebihnya saya menyampah mendengar orang bercakap mengenai teman lelaki masing-masing. Saya rasa getik apabila orang bercakap mengenai seronoknya berpacaran yang kemudian disudahi dengan pertunangan dan perkahwinan.

“Sebab awak belum merasa lagi. Esok-esok awak ada boyfriend, tahu makna kasih sayang, rindu-merindu, hah, awak tahulah langit tinggi atau rendah!” Zurai mencebik kepada saya.

Zurai atau nama sebenarnya, Zuraina, orang yang paling mempertahankan cinta. Teman serumah saya ini baru tiga bulan bermain cinta dengan teman sekerja di kilang tempat kami bekerja.

Dalam kalangan kami berlima di rumah flat tiga bilik ini, dialah yang paling asyik-masyhuk bercinta, bergayut berjam-jam di telefon sehingga bil telefon pernah mencecah ratusan ringgit. Sudahlah bergayut lama, tidak mahu mengaku pula tetapi selepas disemak pada rekod nombor, memang sah dialah pengguna paling banyak.

RM245.00.

Bayangkan!

“Merasa? Apa maksud rasa?” Saya sengaja buat muka bodoh dan bertanya soalan bodoh.
Zurai mencebik menyampah.

“Berlagak baiklah pula perempuan ini! Macam perempuan suci!” Dia sampai ke peringkat mencemuh pula.

Saya buat muka selamba. Saya ingin lihat sejauh mana dia akan mempertahankan diri.
“Umairah tidak ada boyfriend! Dia cakap begitu sebab dia cemburu!” Aryati menyampuk tiba-tiba. Teman seorang itu sejak 10 minit tadi tekun mengilat dan membelek kuku, mencelah mendadak.

Zurai membeliakkan mata. Kemudian dia tersenyum-senyum menyindir.
Hati saya rasa terbakar sedikit. Tetapi saya tidak mahu mengalah. Saya tidak akan menunjukkan sebarang emosi marah atau bengang.

Aryati dengan Zurai itu memang sekutu paling akrab. Dalam bab berteman lelaki, mereka selalu sependapat. Sekepala, sama-sama mabuk cinta – memang padanlah apabila mereka berkawan baik di rumah ini.

“Saya tidak perlukan boyfriend. Saya rasa hidup lebih bahagia kalau tak ada boyfriend yang menyusahkan kepala otak!” saya balas selamba.

Wooo! Dua teman itu bersorak.

2/21/11

TIADA KHATIMAH CINTA



Judul: Tiada Khatimah Cinta
Terbitan: Alaf 21 Sdn Bhd, Januari 2011
Kategori: Novel
Jumlah muka surat: 496
Harga: RM19.90


"Dia bawa perubahan pada kita semua. Dia cahaya hati kita...." kata-kata itu terlancar begitu sahaja dari mulut Anis Hasanah.

"Akim menyedapkan lagi resipi kehidupan kita!' Siti Rahmah melengkapkan kalimah itu.

Anis Hasanah termenung. Dia ketandusan kata-kata sesungguhnya.

"Hana, kematangan tak datang dengan bertambahnya usia. Kematangan bermula dengan sikap menerima tanggungjawab," lagi kalimah itu menyumbat telinga Anis Hasanah.

***

Kata Anis Hasanah, dia mahu memulakan hidup baru. Dia sudah bertaubat dan ingin lihat dunia secara penuh insaf. Katanya, dia ingin lenyapkan ‘momok’ silam yang menghantui hidup sejak sekian tahun ini. Kerana dia mahu melangkah ke hadapan memburu khatimah yang tenang lagi diredhai.

Kata Hatim, hidup perlu realistik. Ini bukan pengakhiran kisah Cinderella tetapi permulaan pada sebuah kehidupan yang bermakna. Katanya, dia hanya punya hati yang ikhlas dan tulus. Dia sekadar mampu menawarkan harapan dan cinta untuk sama-sama melangkah menuju masa depan.

Kata Ehsan, hidup mesti ikut hati. Dia kembali beroleh ‘nyawa’ selepas bertahun-tahun tenggelam di bawah bayang-bayang orang lain. Katanya, dia mahu mencari arah baru dan memulakan langkah sendiri yang bebas tanpa belenggu. Dia mahu mendapatkan semula cintanya yang pernah hilang.

Di antara mereka bertiga, wujud Amir Hakim. Maka apa pula kata Amir Hakim?

Khatimah hidup bagaimanakah yang mereka kejar?
Dan inilah kisah mereka!

(Tiada Khatimah Cinta pernah disiarkan secara bersiri di akhbar Harian Metro, setiap hari Selasa, mulai 3 November 2009 - 3 Ogos 2010, sebanyak 40 siri)


FRAGMEN NOVEL

SELALU dia katakan pada dirinya sendiri, tinggallah segala kisah lalu. Benamkan segala-galanya di aras ingatan yang paling bawah dan usah digali-gali lagi. Namun mana mungkin dia lupakan cerita lama, mana mungkin dia padamkan segala yang telah berlaku kerana dia seorang manusia yang masih bernyawa dan masih normal.

Kecualilah jika dia hilang ingatan, maka tentu segala kisah silam itu boleh dia padamkan begitu sahaja. Tetapi dia masih manusia normal. Ya, manusia normal tentu sahaja tidak akan terlekang daripada segala kenangan silam yang mengusik sukma.

Anis Hasanah menarik nafas. Dia cuba memejamkan mata tetapi sebaik-baik sahaja kelopak mata dirapatkan, dia bagaikan ternampak-nampak wajah Ehsan. Dia seperti terpandang-pandang mata Ehsan merenungnya. Dia seperti terlihat-lihat senyuman senget Ehsan. Senyuman yang dahulu istimewa pada matanya tetapi kali ini tampak penuh sinis menyelar.

Dia beristighfar berkali-kali. Kemudian berzikir untuk mententeramkan hati. Ehsan masih seperti dahulu, wajah segak dengan senyuman senget yang istimewa (padanya suatu ketika dahulu) tentu masih berupaya menggoda mana-mana wanita untuk jatuh cinta pandang pertama. Mata yang sedikit sepet kerana mewarisi darah Cina daripada ayahnya itu akan tambah kecil ketika tersenyum. Tubuhnya berisi sedikit tetapi tidak mengurangkan sisi kacaknya, malah kelihatan lebih tegap.

Senyuman Ehsan masih dengan senyuman sengetnya yang biasa itu. Kalau dahulu, dengan senyuman senget itu mungkin akan membuatkan Anis Hasanah berlari mendapatkannya. Tetapi kali ini, senyuman senget itu terasa amat menakutkan bagaikan hantu yang mengejarnya!

Apakah perasaannya pada Ehsan? Marah? Benci? Meluat? Semua perasaan itu ada barangkali. Sebab Ehsan pernah meluluhkan hatinya. Sudah melukakan hatinya. Malah Ehsan hampir meranapkan masa depannya. Memang dia bodoh ketika itu. Memang dia cuai ketika itu. Kecuaian yang berganda apabila segala tindakannya kurang diberikan perhatian oleh keluarga.

Bukan ayah dan mama tidak prihatin. Bukan ayah dan mama tidak sayang anak-anak. Tetapi ayah dan mama terlalu percayakan anak-anak. Ayah dan mama juga mungkin terlalu sibuk bekerja sehingga terlepas pandang akan anak-anak yang sedang meningkat remaja.

Kononnya, mereka keluarga bercita rasa moden yang mementingkan kebebasan individu. Kononnya itu hak peribadi. Dahulu ayah dan mama berpegang pada prinsip; beri kebebasan pada anak-anak untuk memilih apa yang mereka mahu. Entah budaya mana yang ayah dan mama kutip tetapi seperti pengakuan kedua-duanya, itulah kesilapan maha besar mereka yang sehingga kini mereka tanggung akibatnya.

Ehsan adalah serpihan kesilapan zaman silamnya. Anak muda itu teman rapat zaman remajanya dan diakrabkan dengan hubungan persahabatan karib ibu bapa mereka. Lalu hubungan itu manis mulus dengan restu dan dalam pengetahuan ibu bapa.
Ya, dia memang bangga memiliki Ehsan. Gadis remaja mana yang tidak bangga berteman lelaki dengan Ehsan anak kacukan Melayu-Cina yang pintar, kacak dan bergaya. Di sekolah dia tidak pandang lagi budak-budak lelaki yang suka mengurat dengan gaya bodoh-bodoh alang dan suka mencuri perhatian. Apa kelas budak lelaki di sekolahnya berbanding Ehsan pelajar pintar yang akan mendapat peluang belajar di luar negara!

Dia dan Ehsan malah sudah merancang-rancang. Ehsan akan terbang ke United Kingdom selepas beroleh keputusan matrikulasinya. Jurusan pilihan Ehsan adalah seni bina. Dia pula mungkin akan menyambung pengajian persediaan selama setahun dan kemudian akan menyusul jejak Ehsan ke universiti yang sama atau sekurang-kurangnya ke lokasi yang hampir sama. Jurusan pilihannya, mungkin komunikasi atau paling tidak pengurusan.

Mereka berkongsi perancangan itu dengan ibu bapa dan kedua-dua ibu bapa tersenyum bangga – barangkali bangga betapa bijaknya anak-anak muda itu membuat perancangan masa hadapan.

“Pandai budak-budak sekarang merancang masa depan. Mereka tahu apa yang mereka hendak,” selalu dia dengar Aunty Intan, ibu Ehsan memuji-muji kebijaksanaan mereka.

“Kalau Hana dapat satu universiti dengan Ehsan, senanglah sikit hati kami. Ada orang tolong tengok-tengokkan Hana,” begitu pula mama menyambung.

Ayah mengangguk dan kelihatan seamat-amat bersetuju. Uncle Adam yang memang pendiam itu sekadar tersenyum-senyum sahaja. Anis Hasanah dan Ehsan saling berpandangan dan saling mengumbarkan senyuman lebar. Bangga; bangga kerana perancangan mereka beroleh restu keluarga.

“Jangan bimbang. Ehsan temankan Hana belajar. Ehsan akan jadi cikgu Hana sampai Hana habis periksa,” begitu pula janji Ehsan yang buat dia terasa bagaikan diri berada di puncak ancala. Bangga tidak terkimah kerana lelaki pujaan hati bersedia untuk susah senang menumpahkan semangat untuknya sehingga dia tamat perjuangan di medan peperiksaan.

Dan Ehsan memang mengotakan janji. Ehsan bebas keluar masuk rumahnya untuk menjadi guru kelas tambahannya setiap hari selepas waktu persekolahan. Ayah tidak kisah, mama juga tidak menegur kerana faham dua anak remaja itu belajar. Selalunya mereka berdua. Kadangkala disertai dua tiga orang teman sekolah Anis Hasanah, seperti Lily, Eisya dan Azlin, yang ikut menumpang bergurukan Ehsan.

Memang mereka belajar.

Itu pasti!

“Habis periksa nanti, kita raikan hari kemerdekaan. Hari jadi Hana pun lepas habis periksa nanti kan?” janji Ehsan pada Anis Hasanah beberapa hari sebelum peperiksaan.

“Di mana? Ayah dengan mama pun janji nak buat parti untuk Hana,” bercahaya matanya mendengar.

"Hana pilih. Ehsan tak kisah. Tapi yang ini parti untuk kita-kita saja,” teman lelaki yang baik budi itu tersenyum-senyum senang.

Dan mereka memang meraikan hari kemerdekaan mereka merangkap sambutan hari jadinya yang ke-17. Di rumahnya sendiri pada malam minggu. Bukan mereka berdua tetapi disertai juga beberapa teman rapat Ehsan dan teman akrab Anis Hasanah. Dua orang lagi kawan Ehsan yang sama-sama menyertai mereka; Mike dan Emil; dua teman baru yang baru dikenali malam itu.

Rumah Anis Hasanah malam itu jadi milik mereka. Ayah dan mama tiada di rumah kerana menghadiri majlis rakan perniagaan di hotel. Dia hanya beritahu ayah dan mama; mahu mengajak kawan-kawan datang ke rumah untuk bersembang-sembang dan berkaraoke. Dia sebut nama Ehsan, Lily, Eisya dan Azlin. Ayah tidak berkata apa-apa. Mama hanya mengangguk. Tiada masalah. Ayah dan mama memang mengenali teman-temannya itu.

Mereka berparti dengan cara mereka sendiri; menjamu diri sendiri dengan makanan ringan yang tidak berkhasiat dan berbual gelak tawa sambil melalak berkaraoke. Ketika tenggelam dalam bingit dan jerit pekik kawan-kawan yang menyanyi tidak ingat dunia itulah, Mike mengendeng Ehsan dan menyerahkan sesuatu ke tangan Ehsan. Dan Ehsan kemudian menyerahkan pil kecil itu ke tangannya.

“Apa ni? Dadah?” dia bertanya.

“Pink Lady! Ehsan dah ambil tadi. Cubalah. Tak bahaya punya!” Ehsan tersenyum senget menggoda.

“Dadah, Ehsan. Bahayalah!” Anis Hasanah cemas mendadak.

1/6/11

MEMAKNAKAN CINTA (Kumpulan Cerpen Persendirian)



Memaknakan Cinta
Kategori: Kumpulan Cerpen
Terbitan: Al-Ameen Serve Holdings Sdn Bhd
Mukasurat: 178
Harga: RM19


20 cerita bermakna pada jiwa. Salina Ibrahim dengan 20 cerita pendek yang mengujakan, menghiburkan, menginsafkan, mengundang kesyahduan serta membawa peringatan.
1. Sebuah Dendam
2. Mencari Diri
3. Menongkah Arus
4. Cerai?
5. Bisik Pada Angin
6. Tulus Cinta Abah
7. Mencari Mariam
8. Ombak Jahat
9. Melunas Dendam
10. Memaknakan Cinta
11. Imam
12. Mamaku Menteri
13. Akademi Idola
14. Terbang Ke Langit
15. Mimpi Syawal
16. Tiang Seri
17. Pulangkan Bahagia
18. Liyya Safura Si Penggembala
19. Tinggalkan Bintang Jauh Itu
20. Gelombang