Follow by Email

6/13/09

ANTOLOGI KACAK JELITA

ANTOLOGI KACAK JELITA
Terbitan: Alumni Minggu Penulis Remaja
Muka surat: 163
Harga: RM20

Sinopsis

Antologi Cerpen Alumni Minggu Penulis Remaja (MPR) Dewan Bahasa & Pustaka. Antologi yang mencipta sejarah dan paling sensasi dalam sejarah penerbitan antologi! Menghimpunkan 15 cerpen daripada 15 orang pengarang alumni MPR yang kacak dan jelita:

1. Nasriah Salam (Banglo Kolonial di Lot 152)
2. Shazmee Rizal Agus Salim (Batas-batas Perlumbaan)
3. Amaruszati Noor Rahim (Batu Bukit Batu Sungai)
4. Rosie Haslinda Nasir (Bulanku Di Stella Oceanis)
5. Saharil Hasrin Sanin (Cahaya Tersangat Aneh)
6. Rahimidin Zahari (Catherine)
7. Shamsudin Othman (Datuk Wai Bee)
8. Hafizah Iszahanid (Doktor Cinta)
9. Amir Mukriz (Dum!)
10. Ummu Hani Abu Hassan (Eksploit 2 Versi)
11. Salina Ibrahim (Hati Seorang Perempuan)
12. Raihani Mohd Saaid (Jauhari Si Jebat)
13. Hizairi Othman (Merungkai Deduksi)
14. Lutfi Ishak (Roda Pembunuhan)
15. Ida Munira Abu Bakar (Yang Terindah)
Dengan tambahan - Nota Hujung: Sebuah Lampoon Kacak Jelita...Impian Jadi Kenyataan oleh Khairul Nizam Abd Raub.

end

BUKAN YANG PERTAMA

BUKAN YANG PERTAMA
Terbitan: PTS Litera Sdn Bhd
Tahun: 2008
Muka surat: 782
Harga: RM34

Sinopsis

Yasmin Zulaikha salah seorang daripada ribuan graduan yang bergelar penganggur terhormat. Tiada pilihan lain lalu dia pulang ke kampung, mencipta kerjaya sendiri dengan menyertai program homestay yang diusahakan di desa.

Selain menjadi pengusaha homestay, dia juga berusaha membangunkan ekonomi desa dengan mengambil alih perusahaan kecil milik ibunya yang diusahakan bersama ibu tunggal, Hasniah.

Dia orang muda yang memikul tanggungjawab sebagai usahawan di desa sendiri, bertanggungjawab untuk menjaga ibu yang sudah tua dan harus menjadi contoh teladan yang baik kepada dua orang adik.

Berdepan kerjaya ciptaan sendiri, menuntut dia memahami falsafah di sebalik tugasnya serta tuntutan syarak. Dia cuba memahami tuntutan untuk menjadi tuan rumah yang baik, belajar menjana ekonomi dengan cara sendiri dan cuba menjadi anak muda contoh yang bakal mewarisi kepimpinan desa yang semakin tandus tenaga muda.

Lumrah hidup, tidak sah jika tidak berdepan dengan pelbagai hal peribadi dan urusan kerja. Yasmin Zulaikha berdepan kerenah Anis; remaja perempuan yang memberontak, dia juga harus menangani hal Jason, asalnya tetamu homestay tetapi kemudian kembali semula ke desa kerana tertarik untuk memeluk Islam.

Dia juga berdepan kemelut cinta, apabila dilamar Ustaz Mustakim, duda beranak tiga yang dalam diam juga dicintai oleh rakan perniagaannya, Hasniah.

Namun tanpa sedar, ada keakraban tercipta antara Yasmin Zulaikha dengan Umar Khalil, wartawan yang banyak membantu mempromosikan program homestaynya. Tetapi persahabatan itu pula, rupa-rupanya jadi pencetus api fitnah.

Yasmin Zulaikha wanita muda bersemangat waja, berani menongkah arus, tidak mahu ketinggalan dalam aspek kepimpinan dan pada masa sama berusaha sedaya upaya untuk terus tekal istiqamah di landasan syarak.

*** Novel ‘Bukan Yang Pertama’ – novel karya Salina Ibrahim pernah disiarkan secara bersiri dalam ruangan Bicara Agama, Utusan Malaysia, antara 1 Januari 2007 sehingga 26 Disember 2007

***Dimuatkan juga catatan ‘Dari Hujung Mata Pena’ oleh pengkritik, Dr. Amida Abdulhamid menyentuh pengalaman beliau membaca novel ‘Bukan Yang Pertama’.

***Maklumat lain mengenai ‘Bukan Yang Pertama’ di http://salinaibrahim.blogdrive.com/

end

SYURGA DI HATI


SYURGA DI HATI
Terbitan: Creative Enterprise Sdn Bhd
Tahun: 2006
Muka surat: 435
Harga: RM20.90

Sinopsis
Ku Aris meninggalkan legasi untuk Nurul Khadijah. Sebuah Paradise yang bukan sekadar sebuah hotel impian tetapi cita-cita yang menggunung tinggi. Seorang Muslimah seperti Nurul Khadijah perlu berani menjadi seorang ketua, memikul tanggungjawab dan amanah besar. Semuanya berlaku dalam sekelip mata.

Nurul Khadijah mesti menongkah arus. Di bahunya terbeban amanah yang tidak harus dipandang ringan. Tetapi perempuan muda yang kematian suami sepertinya tidak lari daripada pandangan mata serong, terdedah pada fitnah dan godaan-godaan asing. Juga harapan dan kemahuan ibu bapa, kadangkala tidak selari dengan kemahuan sendiri, sering menimbulkan konflik antara mereka.

Dalam kemelut dan dilema, adik Allahyarham Ku Aris kembali menagih kasih. Ku Adam pernah menawarkan sesuatu ketika Nurul Khadijah berdepan kehilangan Ku Aris setahun lalu. Tetapi Nurul Khadijah tegas menolak kerana tidak pantas sekali dia menerima adik ipar sendiri.

Ya, tiada salahnya Ku Adam pada Nurul Khadijah. Dan tiada sumbangnya Nurul Khadijah pada Ku Adam. Kerana hanya bulan dan matahari sahaja yang mustahil untuk disandingkan…

Tetapi, apa pula pilihan Nurul Khadijah?


end

ATAS NAMA KASIH

ATAS NAMA KASIH
Terbitan: Creative Enterprise Sdn Bhd
Tahun: 2005
Muka surat:
Harga: RM18.90

Sinopsis
Apabila Suria Harisah terpaksa ‘mengangkat’ Nur Kasih menjadi anaknya, dia tahu, dia harus berkorban segala-galanya. Bukan mudah gadis bujang sepertinya mendapat ‘anak segera’ tetapi dia belajar mengikhlaskan diri dan menerima seadanya.

Nur Kasih bukan sekadar anak saudara (anak Allahyarham abangnya Syauqi & Eleena) tetapi Nur Kasih itulah buah hatinya. Dia lupakan segala-galanya demi Nur Kasih. Hidupnya adalah untuk Nur Kasih.

Tetapi dia juga manusia biasa, yang ada keinginan dan cita-cita. Apabila teman lamanya, Iskandar muncul semula, hati perempuannya berkocak. Ya, dia hanya seorang manusia biasa, tidak salah punya perasaan itu.

Dia bahagia punya Nur Kasih, bersyukur dengan penerimaan Iskandar, tetapi ada sesuatu yang tidak diduga muncul. Seseorang muncul dari masa silam mahu menuntut hak ke atas Nur Kasih…

end

KOMBINASI BUNGA CINTA

KOMBINASI BUNGA CINTA
Terbitan: Creative Enterprise Sdn Bhd
Tahun: 2004
Muka surat:
Harga: RM22.90

Sinopsis

Gabungan tiga novel remaja Salina Ibrahim; Bunga Cinta, Kelopak Kasih dan Hujan Sudah Teduh. Ketiga-tiga novel ini mengungkap kisah perjuangan remaja yang idealis, berani dan menyerlah dengan pandangan dan persepsi masing-masing.

end

UNTUKMU HANA...

UNTUKMU HANA…
Terbitan: Creative Enterprise Sdn Bhd
Tahun: 2003
Muka surat:
Harga: RM 20.90


Sinopsis
Hana Atirah bukan seperti gadis biasa lain yang mudah selesa dengan apa yang dia ada. Apabila terbongkar kisah lama bahawa dia anak angkat Dr. Imran dan Dr. Zubaidah, gadis ini membuat keputusan nekad.

Ibu kandungnya mesti dicari segera!

Dan dia menjalankan misinya sendiri-sendiri ke kampung kelahiran ibu kandungnya demi mengenali seorang wanita bernama Seri Khairaton, individu yang dianggap bukan sembarangan wanita di desa itu.

Mengenali wanita bertokoh itu, Hana Atirah keliru. Inikah wanita yang sanggup meninggalkannya 24 tahun lalu? Inikah wanita yang sampai hati meminggirkan anak kandung sendiri?

Tetapi Seri Khairaton ada sejarahnya yang tersendiri, yang selama ini tersimpan erat daripada pengetahuan orang lain. Membuka semula sejarah lalu, termasuk mendedahkan sesuatu yang dianggap pekung di dada bukan mudah… tidak juga semudah apabila mendapat tahu bahawa Hana Atirah adalah anak yang hanya sempat ditatap selama satu minggu….

end

ANJUNG WARISAN


ANJUNG WARISAN
Terbitan: Creative Enterprise Sdn Bhd
Tahun: 2002
Muka surat:
Harga: RM15.90

Sinopsis
Anjung Warisan; tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula tempat bermain. Apatah lagi daerah kelahiran yang pernah mencoretkan pelbagai sejarah jatuh bangun suatu empayar.
Anjung Warisan bukan sekadar sebuah rumah tetapi adalah tempat tinggal generasi berganti generasi.

Apabila Ungku Hani mengambil keputusan untuk kembali ke Anjung Warisan, kediaman warisan almarhum nendanya, Raja Lastri, dia sudah nekad dan bulat fikiran.

Apabila dia membulatkan hati untuk ke desa nenek, Ranah Siantan, dia tahu dia harus cekal berdepan tantangan.

Apabila dia mengikut suara hatinya menjadi pendidik (bukan wanita korporat) seperti kemahuan ayah, dia tahu, dia bakal berdepan seribu satu cabaran yang tidak terjangkau di minda.

Dan apabila dia dengan hati penuh yakin menolak Fadzli (calon suami pilihan keluarga), dia tahu dia sedang menempah masa depan yang jauh daripada yang diharapkan keluarga.

Tetapi Anjung Warisan ada ceritanya, cerita yang menyuntik motivasi dan menyalurkan inspirasi. Anjung Warisan ada sesuatu yang tidak terjangkau di minda. Anjung Warisan ada sejarah yang lebih daripada yang disangka.

Anjung Warisan memang ada sesuatu…


end

MAHLIGAI


MAHLIGAI
Terbitan: Creative Enterprise Sdn Bhd
Tahun: 2001
Muka surat: 333
Harga: RM16.90

Sinopsis
Eleena, Ezalee dan Eleena; tiga sahabat sejak remaja, sehingga sama-sama jadi pejuang ilmu di menara gading. Eleena – Ezalee saling memendam perasaan tetapi kehadiran Anita membantutkan tunas.

Ezalee menerima Anita, Eleena bawa hati ke luar negara menyambung pelajaran. Kembali semula ke tanah air setahun kemudian, tiga sahabat bertemu semula. Tetapi situasi sudah jadi lain.

Ezalee meluahkan perasaan tanpa sedar status diri, Eleena serba salah mengenangkan Anita juga bukan orang lain dengannya dan Asri cuba jadi penyelamat kepada persahabatan mereka.

Dan Eleena harus bijak meniti ranjau dalam memilih jodoh yang terbaik untuknya dan masa depannya…

Kata pengkritik:
Tema novel ini ialah persoalan memilih jodoh bagi Eleena seorang wanita muda yang mandiri. Mengenai soal perjodohan ini, novel ini telah melakarkan perubahan persepsi yang ketara dengan berlakunya pelanggaran konstruksi budaya terutama dari sudut nilai perjodohan dan peranan ibu bapa…

Menerusi novel sulungnya, Salina Ibrahim telah menunjukkan wujudnya persepsi baru terhadap persoalan mobiliti social dan penentuan jodoh di kalangan generasi muda Malaysia.

(Sumber: Kertas kerja Mahligai: Anjakan Persepsi Wanita Terhadap Isu Mobiliti Sosial dan Perjodohan oleh (Dr.) Rosnah Baharudin. Dibentangkan dalam Majlis Diskusi Buku Penulis Generasi Baru Gapena, di Rumah Gapena, 6 Julai 2002)




'Mahligai' dipanjangkan daripada cerpan (cerita panjang) 'Mahligai Kaca' yang pernah tersiar di majalah Citra terbitan Berita Publishing pada tahun 1997.






end

galeri buku salina ibrahim

Dengan nama Allah Yang Maha Penyayang lagi Maha Pengasihani.

Penjaga galeri mengucapkan selamat datang kepada semua....