12/31/14

BELI NOVEL SALINA IBRAHIM

CARA TEMPAHAN BUKU:

1. E-melkan kod buku (atau judul buku) berserta kuantiti yang anda kehendaki. Sertakan nama, alamat pos dan nombor telefon bimbit. Mohon nyatakan jika sdra/i mahu buku ditandatangan oleh pengarang berserta nama individu yang berkenaan.

2. Sdra/i akan menerima e-mel balasan atau SMS yang memaklumkan jumlah bayaran dan nombor akaun bank untuk pembayaran harga buku.

3. Penghantaran akan diuruskan setelah bayaran disahkan.

4. Jual beli kepada pelanggan dari Malaysia sahaja.

5. Kos penghantaran percuma sehingga tempoh yang akan dimaklumkan kelak.

EMEL KEPADA: salinaibrahim@gmail.com
Senarai Buku:
N1; Mahligai (RM16.90)
N2; Anjung Warisan (RM15.90)
N3; Untukmu Hana… (RM20.90)
N4; Kombinasi Bunga Cinta (RM22.90)
N5; Atas Nama Kasih (RM18.90)
N6; Syurga Di Hati (RM20.90)
N7; Bukan Yang Pertama (RM34.00)
A1; Antologi Kacak Jelita (RM20.00)
N8; Setenang Cahaya Hati (RM17.00)
A2; Kumpulan Cerpen Memaknakan Cinta (RM19.00)
N9; Aina & Aini: Diva Kampung (RM15.00)
N10; Tiada Khatimah Cinta (RM19.90)
N11; Aina & Aini: Model Terhangat (RM15.50)
N12; Tulis Cinta Dalam Hati (RM17.00) 

N13; Aina & Aini: Model Terhangat (RM15.50)
N14; Aina & Aini: Ratu Drama (RM14.50) - karya terkini!

12/27/12

SIRI AINA & AINI (novel remaja)

Aina & Aini: Diva Kampung,
 PTS Litera Utama 2011, RM15.00

Aina & Aini: Model Terhangat,
PTS Litera Utama 2011, RM15.50

Aina & Aini: Ratu Drama,
PTS Litera  Utama 2012, RM14.50

Mereka kembar tidak seiras, mereka ‘sama tapi tak serupa’ dari segi fizikal dan minat. Aina Syuhada agak kurus, wajah bujur, bermata bulat besar dan lesung pipit di pipi kanan menyerlah ketika tersenyum. 

Sementara Aini Syahida sedikit berisi tubuhnya dengan wajah agak bulat, mata kecil sedikit dan lesung pipitnya terletak di sebelah kiri. Mereka memang berbeza, kecuali pada sikap ramah dan baik hati yang barangkali diwarisi daripada kedua ibu bapa mereka.

Namun perbezaan mereka adalah suatu rahmat. Begitulah besarnya kuasa Allah yang mencipta perbezaan pada sepasang kembar yang akhirnya perbezaan itu saling lengkap-melengkapi antara kedua-duanya!


             AINA AINI: DIVA KAMPUNG
            Terbitan: PTS Litera Utama 2011
            Muka surat: 224
            Harga: RM15.00
            Kononnya mereka diva! Mereka sama tetapi tidak serupa. Mereka unik, berbeda cita rasa. Perbezaan mereka adalah pelengkap satu sama lain.

Kehadiran Tak menggugat keakraban, menjadikan mereka berseteru.  Helah dan taktik dicuba untuk mengumpan perhatian jejaka idaman. Berjaya atau tidak, lain cerita. Yang penting, mereka tidak kalah berusaha!

“Kenapa mengurat dia? Dia itu saya punya. Jangan kacau daun!” Aina membeliakkan mata.

“Eh, tidak ada pun nama awak pada muka dia! Maknanya, dia tidak ada sesiapa yang punya.” Aini menyindir.

Namun sesuatu berlaku.  Kemunculan Umar Akif mengubah segala. Ada sesuatu yang mereka pelajari daripada Umar Akif.  Siapakah Umar Akif?  Apa yang istimewa sangat pada Umar Akif?


AINA & AINI: MODEL TERHANGAT
Terbitan: PTS Litera Utama 2011
Muka surat: 250
Harga: RM15.50
“Kedua-dua motosikal bersama manusia di atasnya terhumban mencium jalan raya! Sebuah teksi mendecit di belakang mereka. Tayar yang menggigit jalan raya jelas menyumbat lubang telinga. Tayar teksi di hadapan semakin dekat. Dia memejamkan mata. Ngeri! 

Aina & Aini mendapat kawan baru. Luthfi si nakal yang gila-gila dan Fatih si budak jahat yang sebenarnya baik. Ada persahabatan yang manis ditawarkan oleh Luthfi.

Ada ketulusan yang cuba dipancing oleh Fatih.

Satu lagi yang tidak kurang mengujakan, Aina dan Aini jadi model di majalah Gadis!  Glamornya kembar berdua ini. Mereka jual aksi di lembar majalah. Hakikatnya, jadi model sebenar dalam hidup adalah lebih sukar daripada itu.           

Namun ada pula insiden yang tidak disangka-sangka berlaku!


AINA & AINI: RATU DRAMA
Terbitan: PTS Litera Utama 2012
Muka surat: 218
Harga: RM14.50
 “Asal bergaduh dengan emak bapa, terus angkat bungkus. Merajuk sedikit, lari dari rumah. Singkat akal betul! Semuanya hendak main drama!”
              
             Siapa yang lari atau yang dilarikan?  
              
            Siapa yang singkat akal? 
              
            Siapa yang main drama? 
              
           Apa yang disaksikan Aina dan Aini kali ini?  
             
          Adakah mereka sudah menjadi sebahagian daripada watak drama?



end

7/1/11

TULIS CINTA DALAM HATI




TULIS CINTA DALAM HATI
Terbitan: PTS Litera Sdn Bhd
Tarikh terbit: Jun 2011
Genre: Novel Umum / Remaja
Halaman: 268
Harga: RM17.00


***

Saya Mai. Umur saya 19 tahun. Saya tidak seperti remaja lain yang sangat percaya dan yakin pada cinta. Saya tidak percaya pada cinta! Benarkah? Aneh, bukan?

Saya ada tiga orang ibu; Mak, Umi dan Mak Cik Nita. Saya punya tiga orang ayah; Bak, Abah dan Pak Cik Yusman. Tetapi saya masih rasa aneh, mengapa langsung tiada cinta dalam hati saya?

Saya sedang berusaha menulis kata ‘cinta’ dalam diari hati saya. Mampukah saya? Inilah kisah saya!

***

FRAGMEN NOVEL

SAYA tidak percaya pada cinta. Saya ingin tegaskan, saya memang tidak yakin pada cinta. Tidak percaya? Orang kata saya aneh. Saya baru berusia 19 tahun tetapi saya sudah amat anti pada kalimah cinta. Saya amat geli-geleman dan rasa merinding bulu roma apabila mendengar orang bercakap mengenai cinta.

Selebihnya saya menyampah mendengar orang bercakap mengenai teman lelaki masing-masing. Saya rasa getik apabila orang bercakap mengenai seronoknya berpacaran yang kemudian disudahi dengan pertunangan dan perkahwinan.

“Sebab awak belum merasa lagi. Esok-esok awak ada boyfriend, tahu makna kasih sayang, rindu-merindu, hah, awak tahulah langit tinggi atau rendah!” Zurai mencebik kepada saya.

Zurai atau nama sebenarnya, Zuraina, orang yang paling mempertahankan cinta. Teman serumah saya ini baru tiga bulan bermain cinta dengan teman sekerja di kilang tempat kami bekerja.

Dalam kalangan kami berlima di rumah flat tiga bilik ini, dialah yang paling asyik-masyhuk bercinta, bergayut berjam-jam di telefon sehingga bil telefon pernah mencecah ratusan ringgit. Sudahlah bergayut lama, tidak mahu mengaku pula tetapi selepas disemak pada rekod nombor, memang sah dialah pengguna paling banyak.

RM245.00.

Bayangkan!

“Merasa? Apa maksud rasa?” Saya sengaja buat muka bodoh dan bertanya soalan bodoh.
Zurai mencebik menyampah.

“Berlagak baiklah pula perempuan ini! Macam perempuan suci!” Dia sampai ke peringkat mencemuh pula.

Saya buat muka selamba. Saya ingin lihat sejauh mana dia akan mempertahankan diri.
“Umairah tidak ada boyfriend! Dia cakap begitu sebab dia cemburu!” Aryati menyampuk tiba-tiba. Teman seorang itu sejak 10 minit tadi tekun mengilat dan membelek kuku, mencelah mendadak.

Zurai membeliakkan mata. Kemudian dia tersenyum-senyum menyindir.
Hati saya rasa terbakar sedikit. Tetapi saya tidak mahu mengalah. Saya tidak akan menunjukkan sebarang emosi marah atau bengang.

Aryati dengan Zurai itu memang sekutu paling akrab. Dalam bab berteman lelaki, mereka selalu sependapat. Sekepala, sama-sama mabuk cinta – memang padanlah apabila mereka berkawan baik di rumah ini.

“Saya tidak perlukan boyfriend. Saya rasa hidup lebih bahagia kalau tak ada boyfriend yang menyusahkan kepala otak!” saya balas selamba.

Wooo! Dua teman itu bersorak.

2/21/11

TIADA KHATIMAH CINTA



Judul: Tiada Khatimah Cinta
Terbitan: Alaf 21 Sdn Bhd, Januari 2011
Kategori: Novel
Jumlah muka surat: 496
Harga: RM19.90


"Dia bawa perubahan pada kita semua. Dia cahaya hati kita...." kata-kata itu terlancar begitu sahaja dari mulut Anis Hasanah.

"Akim menyedapkan lagi resipi kehidupan kita!' Siti Rahmah melengkapkan kalimah itu.

Anis Hasanah termenung. Dia ketandusan kata-kata sesungguhnya.

"Hana, kematangan tak datang dengan bertambahnya usia. Kematangan bermula dengan sikap menerima tanggungjawab," lagi kalimah itu menyumbat telinga Anis Hasanah.

***

Kata Anis Hasanah, dia mahu memulakan hidup baru. Dia sudah bertaubat dan ingin lihat dunia secara penuh insaf. Katanya, dia ingin lenyapkan ‘momok’ silam yang menghantui hidup sejak sekian tahun ini. Kerana dia mahu melangkah ke hadapan memburu khatimah yang tenang lagi diredhai.

Kata Hatim, hidup perlu realistik. Ini bukan pengakhiran kisah Cinderella tetapi permulaan pada sebuah kehidupan yang bermakna. Katanya, dia hanya punya hati yang ikhlas dan tulus. Dia sekadar mampu menawarkan harapan dan cinta untuk sama-sama melangkah menuju masa depan.

Kata Ehsan, hidup mesti ikut hati. Dia kembali beroleh ‘nyawa’ selepas bertahun-tahun tenggelam di bawah bayang-bayang orang lain. Katanya, dia mahu mencari arah baru dan memulakan langkah sendiri yang bebas tanpa belenggu. Dia mahu mendapatkan semula cintanya yang pernah hilang.

Di antara mereka bertiga, wujud Amir Hakim. Maka apa pula kata Amir Hakim?

Khatimah hidup bagaimanakah yang mereka kejar?
Dan inilah kisah mereka!

(Tiada Khatimah Cinta pernah disiarkan secara bersiri di akhbar Harian Metro, setiap hari Selasa, mulai 3 November 2009 - 3 Ogos 2010, sebanyak 40 siri)


FRAGMEN NOVEL

SELALU dia katakan pada dirinya sendiri, tinggallah segala kisah lalu. Benamkan segala-galanya di aras ingatan yang paling bawah dan usah digali-gali lagi. Namun mana mungkin dia lupakan cerita lama, mana mungkin dia padamkan segala yang telah berlaku kerana dia seorang manusia yang masih bernyawa dan masih normal.

Kecualilah jika dia hilang ingatan, maka tentu segala kisah silam itu boleh dia padamkan begitu sahaja. Tetapi dia masih manusia normal. Ya, manusia normal tentu sahaja tidak akan terlekang daripada segala kenangan silam yang mengusik sukma.

Anis Hasanah menarik nafas. Dia cuba memejamkan mata tetapi sebaik-baik sahaja kelopak mata dirapatkan, dia bagaikan ternampak-nampak wajah Ehsan. Dia seperti terpandang-pandang mata Ehsan merenungnya. Dia seperti terlihat-lihat senyuman senget Ehsan. Senyuman yang dahulu istimewa pada matanya tetapi kali ini tampak penuh sinis menyelar.

Dia beristighfar berkali-kali. Kemudian berzikir untuk mententeramkan hati. Ehsan masih seperti dahulu, wajah segak dengan senyuman senget yang istimewa (padanya suatu ketika dahulu) tentu masih berupaya menggoda mana-mana wanita untuk jatuh cinta pandang pertama. Mata yang sedikit sepet kerana mewarisi darah Cina daripada ayahnya itu akan tambah kecil ketika tersenyum. Tubuhnya berisi sedikit tetapi tidak mengurangkan sisi kacaknya, malah kelihatan lebih tegap.

Senyuman Ehsan masih dengan senyuman sengetnya yang biasa itu. Kalau dahulu, dengan senyuman senget itu mungkin akan membuatkan Anis Hasanah berlari mendapatkannya. Tetapi kali ini, senyuman senget itu terasa amat menakutkan bagaikan hantu yang mengejarnya!

Apakah perasaannya pada Ehsan? Marah? Benci? Meluat? Semua perasaan itu ada barangkali. Sebab Ehsan pernah meluluhkan hatinya. Sudah melukakan hatinya. Malah Ehsan hampir meranapkan masa depannya. Memang dia bodoh ketika itu. Memang dia cuai ketika itu. Kecuaian yang berganda apabila segala tindakannya kurang diberikan perhatian oleh keluarga.

Bukan ayah dan mama tidak prihatin. Bukan ayah dan mama tidak sayang anak-anak. Tetapi ayah dan mama terlalu percayakan anak-anak. Ayah dan mama juga mungkin terlalu sibuk bekerja sehingga terlepas pandang akan anak-anak yang sedang meningkat remaja.

Kononnya, mereka keluarga bercita rasa moden yang mementingkan kebebasan individu. Kononnya itu hak peribadi. Dahulu ayah dan mama berpegang pada prinsip; beri kebebasan pada anak-anak untuk memilih apa yang mereka mahu. Entah budaya mana yang ayah dan mama kutip tetapi seperti pengakuan kedua-duanya, itulah kesilapan maha besar mereka yang sehingga kini mereka tanggung akibatnya.

Ehsan adalah serpihan kesilapan zaman silamnya. Anak muda itu teman rapat zaman remajanya dan diakrabkan dengan hubungan persahabatan karib ibu bapa mereka. Lalu hubungan itu manis mulus dengan restu dan dalam pengetahuan ibu bapa.
Ya, dia memang bangga memiliki Ehsan. Gadis remaja mana yang tidak bangga berteman lelaki dengan Ehsan anak kacukan Melayu-Cina yang pintar, kacak dan bergaya. Di sekolah dia tidak pandang lagi budak-budak lelaki yang suka mengurat dengan gaya bodoh-bodoh alang dan suka mencuri perhatian. Apa kelas budak lelaki di sekolahnya berbanding Ehsan pelajar pintar yang akan mendapat peluang belajar di luar negara!

Dia dan Ehsan malah sudah merancang-rancang. Ehsan akan terbang ke United Kingdom selepas beroleh keputusan matrikulasinya. Jurusan pilihan Ehsan adalah seni bina. Dia pula mungkin akan menyambung pengajian persediaan selama setahun dan kemudian akan menyusul jejak Ehsan ke universiti yang sama atau sekurang-kurangnya ke lokasi yang hampir sama. Jurusan pilihannya, mungkin komunikasi atau paling tidak pengurusan.

Mereka berkongsi perancangan itu dengan ibu bapa dan kedua-dua ibu bapa tersenyum bangga – barangkali bangga betapa bijaknya anak-anak muda itu membuat perancangan masa hadapan.

“Pandai budak-budak sekarang merancang masa depan. Mereka tahu apa yang mereka hendak,” selalu dia dengar Aunty Intan, ibu Ehsan memuji-muji kebijaksanaan mereka.

“Kalau Hana dapat satu universiti dengan Ehsan, senanglah sikit hati kami. Ada orang tolong tengok-tengokkan Hana,” begitu pula mama menyambung.

Ayah mengangguk dan kelihatan seamat-amat bersetuju. Uncle Adam yang memang pendiam itu sekadar tersenyum-senyum sahaja. Anis Hasanah dan Ehsan saling berpandangan dan saling mengumbarkan senyuman lebar. Bangga; bangga kerana perancangan mereka beroleh restu keluarga.

“Jangan bimbang. Ehsan temankan Hana belajar. Ehsan akan jadi cikgu Hana sampai Hana habis periksa,” begitu pula janji Ehsan yang buat dia terasa bagaikan diri berada di puncak ancala. Bangga tidak terkimah kerana lelaki pujaan hati bersedia untuk susah senang menumpahkan semangat untuknya sehingga dia tamat perjuangan di medan peperiksaan.

Dan Ehsan memang mengotakan janji. Ehsan bebas keluar masuk rumahnya untuk menjadi guru kelas tambahannya setiap hari selepas waktu persekolahan. Ayah tidak kisah, mama juga tidak menegur kerana faham dua anak remaja itu belajar. Selalunya mereka berdua. Kadangkala disertai dua tiga orang teman sekolah Anis Hasanah, seperti Lily, Eisya dan Azlin, yang ikut menumpang bergurukan Ehsan.

Memang mereka belajar.

Itu pasti!

“Habis periksa nanti, kita raikan hari kemerdekaan. Hari jadi Hana pun lepas habis periksa nanti kan?” janji Ehsan pada Anis Hasanah beberapa hari sebelum peperiksaan.

“Di mana? Ayah dengan mama pun janji nak buat parti untuk Hana,” bercahaya matanya mendengar.

"Hana pilih. Ehsan tak kisah. Tapi yang ini parti untuk kita-kita saja,” teman lelaki yang baik budi itu tersenyum-senyum senang.

Dan mereka memang meraikan hari kemerdekaan mereka merangkap sambutan hari jadinya yang ke-17. Di rumahnya sendiri pada malam minggu. Bukan mereka berdua tetapi disertai juga beberapa teman rapat Ehsan dan teman akrab Anis Hasanah. Dua orang lagi kawan Ehsan yang sama-sama menyertai mereka; Mike dan Emil; dua teman baru yang baru dikenali malam itu.

Rumah Anis Hasanah malam itu jadi milik mereka. Ayah dan mama tiada di rumah kerana menghadiri majlis rakan perniagaan di hotel. Dia hanya beritahu ayah dan mama; mahu mengajak kawan-kawan datang ke rumah untuk bersembang-sembang dan berkaraoke. Dia sebut nama Ehsan, Lily, Eisya dan Azlin. Ayah tidak berkata apa-apa. Mama hanya mengangguk. Tiada masalah. Ayah dan mama memang mengenali teman-temannya itu.

Mereka berparti dengan cara mereka sendiri; menjamu diri sendiri dengan makanan ringan yang tidak berkhasiat dan berbual gelak tawa sambil melalak berkaraoke. Ketika tenggelam dalam bingit dan jerit pekik kawan-kawan yang menyanyi tidak ingat dunia itulah, Mike mengendeng Ehsan dan menyerahkan sesuatu ke tangan Ehsan. Dan Ehsan kemudian menyerahkan pil kecil itu ke tangannya.

“Apa ni? Dadah?” dia bertanya.

“Pink Lady! Ehsan dah ambil tadi. Cubalah. Tak bahaya punya!” Ehsan tersenyum senget menggoda.

“Dadah, Ehsan. Bahayalah!” Anis Hasanah cemas mendadak.

1/6/11

MEMAKNAKAN CINTA (Kumpulan Cerpen Persendirian)



Memaknakan Cinta
Kategori: Kumpulan Cerpen
Terbitan: Al-Ameen Serve Holdings Sdn Bhd
Mukasurat: 178
Harga: RM19


20 cerita bermakna pada jiwa. Salina Ibrahim dengan 20 cerita pendek yang mengujakan, menghiburkan, menginsafkan, mengundang kesyahduan serta membawa peringatan.
1. Sebuah Dendam
2. Mencari Diri
3. Menongkah Arus
4. Cerai?
5. Bisik Pada Angin
6. Tulus Cinta Abah
7. Mencari Mariam
8. Ombak Jahat
9. Melunas Dendam
10. Memaknakan Cinta
11. Imam
12. Mamaku Menteri
13. Akademi Idola
14. Terbang Ke Langit
15. Mimpi Syawal
16. Tiang Seri
17. Pulangkan Bahagia
18. Liyya Safura Si Penggembala
19. Tinggalkan Bintang Jauh Itu
20. Gelombang

3/9/10

SETENANG CAHAYA HATI






SETENANG CAHAYA HATI
Terbitan: Alaf 21 Sdn Bhd
Tahun: 2010
Muka surat: 419
Harga: RM17.00


AIDA NURANI
Dia cuba menjadi perempuan yang mengerti dan memahami, sekali gus menghayati makna sebuah kehidupan. Dia mencari tenangnya sebuah cinta dalam mengejar cinta yang hakiki.

ALIF HUSSEIN
Janji ini membelenggu, memburu dan melontarnya ke dalam segara keliru. Terkadang prinsipnya goyah, hatinya bergoncang dan sukmanya terdera dikejar sebuah harapan. Tetapi tenang cinta itu juga terasa membahagiakan. Namun layakkah dia untuk menerima?

BUDI
Dia lelaki yang terlewat. Menyukai, menyintai dalam diam. Andai inilah hukuman bagi orang yang terlewat, maka dia harus reda. Dan itu juga buat dia sedar; dia harus pandai bawa diri. Tetapi dia tahu, pencarian menuju cinta yang abadi tidak akan ada akhirnya.

IQBAL
Cinta lama masih memenjara hati. Yang bertakhta di hati paling atas tidak pernah tergugat. Dia pernah cuba melepaskan tetapi dia tewas. Atau mungkin dia yang enggan merelakan rasa itu pergi dari hati? Dia yang sengaja membiarkan diri terperangkap?

UMI MARYAM
Penyokong maha taat. Pendokong maha teguh. Semuanya kerana cinta dan mahu merebut ketenangan yang dijanjikan. Kadangkala hati tersayat pedih, sesekali sukma terpilin pilu, tetapi untuk mengalah sesekali tidak!

AIDA MARINI
Dia tidak mengharapkan pasangan yang sempurna kerana dia tahu ketidaksempurnaan itulah yang akan menyempurnakan hidupnya. Maka jadilah dia perempuan yang setia menjunjung kasih, walau terkadang sedikit mementingkan diri. Tetapi salahkah dia berjuang demi cintanya?

SITI MURNI
Dia sudah berjerih untuk dapatkan cinta itu, dia tidak akan lelah, jauh sekali mengalah. Kadangkala dia rasa diri dimangsai tetapi itu bukan alasan untuk berhenti berjuang. Apa sahaja rela ditempuhi; asalkan haknya dalam genggaman.

Kisahnya bermula....
BAITUL SAKINAH menyatukan hati mereka, menawarkan ketenangan, kesejahteraan, perlindungan dan harapan. Baitul Sakinah sarat ceritanya yang tersendiri, dibangunkan oleh insan-insan yang mahu menjadi manusia yang berbakti dan hidup berjasa.

Aida Nurani meninggalkan tanah air untuk menjadi sukarelawan dalam misi kemanusiaan kerana beberapa sebab. Pertama, kerana kecewa melepaskan lelaki yang disukai, Iqbal, untuk dikahwini oleh adiknya, Aida Marini.

Kedua, kerana mahu membersihkan diri dan membekalkan diri dengan pengalaman, kerana dia sedar, dirinya akan dipertanggungjawabkan untuk mentadbir Baitul Sakinah, rumah perlindungan yang diasaskan oleh kedua-dua ibu bapanya.

Dia kembali ke tanah air dengan misi dan visi yang jelas untuk menjadi manusia munfiqun. Untuk mengambil alih Baitul Sakinah, akan bersama-sama Uminya meneruskan kelangsungan Baitul Sakinah dan menawarkan ketenangan kepada sesiapa sahaja penghuni yang bakal bertamu ke Baitul Sakinah.

Dia memikul tanggungjawab yang bukan sedikit; bagi memastikan Baitul Sakinah terus hidup dan berbakti, walaupun sedar kerja kebajikan memang akan akan berdepan pelbagai rintangan cabaran.

Urusan peribadi tidak kurang menggugat. Iqbal yang kini bergelar adik ipar kembali menuntut janji, menggoda dan meluahkan perasaan. Gelagat Iqbal dihidu oleh isterinya Aida Marini dan berlaku permusuhan antara dua beradik disebabkan seorang lelaki.

Baitul Sakinah bertemu penaja baru, Haji Zahid dan Hajah Ashikin pasangan usahawan berjaya yang berminat dengan kerja kebajikan. Kagum dengan usaha Aida Nurani, Hajah Ashikin berusaha untuk menjodohkan anaknya, Alif Hussein dengan gadis itu.

Mereka bertunang atas pilihan keluarga, cuba menyemai rasa cinta perlahan-lahan. Cinta mereka mula berputik. Tetapi Alif digugat cinta lalu, apabila kekasih lama muncul menuntut janji dan sanggup melepaskan calon pilihan keluarga demi untuk bersama Alif Hussein seorang.

Aida Nurani menjadi perempuan yang cuba mengerti dan mahu memahami. Tetapi dia tetap seorang perempuan yang lemah dan tidak berupaya mengekang pelbagai rasa yang menusuk hati.

Tersepit antara cinta Alif Hussein yang tidak selesai dengan tuntutan janji daripada Siti Murni, dia menunggu sang lelaki membuat keputusan. Tetapi hampa. Sang lelaki terlalu keliru. Dan Aida Nurani harus membuat keputusan sendiri....


end

6/13/09

ANTOLOGI KACAK JELITA

ANTOLOGI KACAK JELITA
Terbitan: Alumni Minggu Penulis Remaja
Muka surat: 163
Harga: RM20

Sinopsis

Antologi Cerpen Alumni Minggu Penulis Remaja (MPR) Dewan Bahasa & Pustaka. Antologi yang mencipta sejarah dan paling sensasi dalam sejarah penerbitan antologi! Menghimpunkan 15 cerpen daripada 15 orang pengarang alumni MPR yang kacak dan jelita:

1. Nasriah Salam (Banglo Kolonial di Lot 152)
2. Shazmee Rizal Agus Salim (Batas-batas Perlumbaan)
3. Amaruszati Noor Rahim (Batu Bukit Batu Sungai)
4. Rosie Haslinda Nasir (Bulanku Di Stella Oceanis)
5. Saharil Hasrin Sanin (Cahaya Tersangat Aneh)
6. Rahimidin Zahari (Catherine)
7. Shamsudin Othman (Datuk Wai Bee)
8. Hafizah Iszahanid (Doktor Cinta)
9. Amir Mukriz (Dum!)
10. Ummu Hani Abu Hassan (Eksploit 2 Versi)
11. Salina Ibrahim (Hati Seorang Perempuan)
12. Raihani Mohd Saaid (Jauhari Si Jebat)
13. Hizairi Othman (Merungkai Deduksi)
14. Lutfi Ishak (Roda Pembunuhan)
15. Ida Munira Abu Bakar (Yang Terindah)
Dengan tambahan - Nota Hujung: Sebuah Lampoon Kacak Jelita...Impian Jadi Kenyataan oleh Khairul Nizam Abd Raub.

end