3/9/10

SETENANG CAHAYA HATI






SETENANG CAHAYA HATI
Terbitan: Alaf 21 Sdn Bhd
Tahun: 2010
Muka surat: 419
Harga: RM17.00


AIDA NURANI
Dia cuba menjadi perempuan yang mengerti dan memahami, sekali gus menghayati makna sebuah kehidupan. Dia mencari tenangnya sebuah cinta dalam mengejar cinta yang hakiki.

ALIF HUSSEIN
Janji ini membelenggu, memburu dan melontarnya ke dalam segara keliru. Terkadang prinsipnya goyah, hatinya bergoncang dan sukmanya terdera dikejar sebuah harapan. Tetapi tenang cinta itu juga terasa membahagiakan. Namun layakkah dia untuk menerima?

BUDI
Dia lelaki yang terlewat. Menyukai, menyintai dalam diam. Andai inilah hukuman bagi orang yang terlewat, maka dia harus reda. Dan itu juga buat dia sedar; dia harus pandai bawa diri. Tetapi dia tahu, pencarian menuju cinta yang abadi tidak akan ada akhirnya.

IQBAL
Cinta lama masih memenjara hati. Yang bertakhta di hati paling atas tidak pernah tergugat. Dia pernah cuba melepaskan tetapi dia tewas. Atau mungkin dia yang enggan merelakan rasa itu pergi dari hati? Dia yang sengaja membiarkan diri terperangkap?

UMI MARYAM
Penyokong maha taat. Pendokong maha teguh. Semuanya kerana cinta dan mahu merebut ketenangan yang dijanjikan. Kadangkala hati tersayat pedih, sesekali sukma terpilin pilu, tetapi untuk mengalah sesekali tidak!

AIDA MARINI
Dia tidak mengharapkan pasangan yang sempurna kerana dia tahu ketidaksempurnaan itulah yang akan menyempurnakan hidupnya. Maka jadilah dia perempuan yang setia menjunjung kasih, walau terkadang sedikit mementingkan diri. Tetapi salahkah dia berjuang demi cintanya?

SITI MURNI
Dia sudah berjerih untuk dapatkan cinta itu, dia tidak akan lelah, jauh sekali mengalah. Kadangkala dia rasa diri dimangsai tetapi itu bukan alasan untuk berhenti berjuang. Apa sahaja rela ditempuhi; asalkan haknya dalam genggaman.

Kisahnya bermula....
BAITUL SAKINAH menyatukan hati mereka, menawarkan ketenangan, kesejahteraan, perlindungan dan harapan. Baitul Sakinah sarat ceritanya yang tersendiri, dibangunkan oleh insan-insan yang mahu menjadi manusia yang berbakti dan hidup berjasa.

Aida Nurani meninggalkan tanah air untuk menjadi sukarelawan dalam misi kemanusiaan kerana beberapa sebab. Pertama, kerana kecewa melepaskan lelaki yang disukai, Iqbal, untuk dikahwini oleh adiknya, Aida Marini.

Kedua, kerana mahu membersihkan diri dan membekalkan diri dengan pengalaman, kerana dia sedar, dirinya akan dipertanggungjawabkan untuk mentadbir Baitul Sakinah, rumah perlindungan yang diasaskan oleh kedua-dua ibu bapanya.

Dia kembali ke tanah air dengan misi dan visi yang jelas untuk menjadi manusia munfiqun. Untuk mengambil alih Baitul Sakinah, akan bersama-sama Uminya meneruskan kelangsungan Baitul Sakinah dan menawarkan ketenangan kepada sesiapa sahaja penghuni yang bakal bertamu ke Baitul Sakinah.

Dia memikul tanggungjawab yang bukan sedikit; bagi memastikan Baitul Sakinah terus hidup dan berbakti, walaupun sedar kerja kebajikan memang akan akan berdepan pelbagai rintangan cabaran.

Urusan peribadi tidak kurang menggugat. Iqbal yang kini bergelar adik ipar kembali menuntut janji, menggoda dan meluahkan perasaan. Gelagat Iqbal dihidu oleh isterinya Aida Marini dan berlaku permusuhan antara dua beradik disebabkan seorang lelaki.

Baitul Sakinah bertemu penaja baru, Haji Zahid dan Hajah Ashikin pasangan usahawan berjaya yang berminat dengan kerja kebajikan. Kagum dengan usaha Aida Nurani, Hajah Ashikin berusaha untuk menjodohkan anaknya, Alif Hussein dengan gadis itu.

Mereka bertunang atas pilihan keluarga, cuba menyemai rasa cinta perlahan-lahan. Cinta mereka mula berputik. Tetapi Alif digugat cinta lalu, apabila kekasih lama muncul menuntut janji dan sanggup melepaskan calon pilihan keluarga demi untuk bersama Alif Hussein seorang.

Aida Nurani menjadi perempuan yang cuba mengerti dan mahu memahami. Tetapi dia tetap seorang perempuan yang lemah dan tidak berupaya mengekang pelbagai rasa yang menusuk hati.

Tersepit antara cinta Alif Hussein yang tidak selesai dengan tuntutan janji daripada Siti Murni, dia menunggu sang lelaki membuat keputusan. Tetapi hampa. Sang lelaki terlalu keliru. Dan Aida Nurani harus membuat keputusan sendiri....


end