Follow by Email

7/1/11

TULIS CINTA DALAM HATI




TULIS CINTA DALAM HATI
Terbitan: PTS Litera Sdn Bhd
Tarikh terbit: Jun 2011
Genre: Novel Umum / Remaja
Halaman: 268
Harga: RM17.00


***

Saya Mai. Umur saya 19 tahun. Saya tidak seperti remaja lain yang sangat percaya dan yakin pada cinta. Saya tidak percaya pada cinta! Benarkah? Aneh, bukan?

Saya ada tiga orang ibu; Mak, Umi dan Mak Cik Nita. Saya punya tiga orang ayah; Bak, Abah dan Pak Cik Yusman. Tetapi saya masih rasa aneh, mengapa langsung tiada cinta dalam hati saya?

Saya sedang berusaha menulis kata ‘cinta’ dalam diari hati saya. Mampukah saya? Inilah kisah saya!

***

FRAGMEN NOVEL

SAYA tidak percaya pada cinta. Saya ingin tegaskan, saya memang tidak yakin pada cinta. Tidak percaya? Orang kata saya aneh. Saya baru berusia 19 tahun tetapi saya sudah amat anti pada kalimah cinta. Saya amat geli-geleman dan rasa merinding bulu roma apabila mendengar orang bercakap mengenai cinta.

Selebihnya saya menyampah mendengar orang bercakap mengenai teman lelaki masing-masing. Saya rasa getik apabila orang bercakap mengenai seronoknya berpacaran yang kemudian disudahi dengan pertunangan dan perkahwinan.

“Sebab awak belum merasa lagi. Esok-esok awak ada boyfriend, tahu makna kasih sayang, rindu-merindu, hah, awak tahulah langit tinggi atau rendah!” Zurai mencebik kepada saya.

Zurai atau nama sebenarnya, Zuraina, orang yang paling mempertahankan cinta. Teman serumah saya ini baru tiga bulan bermain cinta dengan teman sekerja di kilang tempat kami bekerja.

Dalam kalangan kami berlima di rumah flat tiga bilik ini, dialah yang paling asyik-masyhuk bercinta, bergayut berjam-jam di telefon sehingga bil telefon pernah mencecah ratusan ringgit. Sudahlah bergayut lama, tidak mahu mengaku pula tetapi selepas disemak pada rekod nombor, memang sah dialah pengguna paling banyak.

RM245.00.

Bayangkan!

“Merasa? Apa maksud rasa?” Saya sengaja buat muka bodoh dan bertanya soalan bodoh.
Zurai mencebik menyampah.

“Berlagak baiklah pula perempuan ini! Macam perempuan suci!” Dia sampai ke peringkat mencemuh pula.

Saya buat muka selamba. Saya ingin lihat sejauh mana dia akan mempertahankan diri.
“Umairah tidak ada boyfriend! Dia cakap begitu sebab dia cemburu!” Aryati menyampuk tiba-tiba. Teman seorang itu sejak 10 minit tadi tekun mengilat dan membelek kuku, mencelah mendadak.

Zurai membeliakkan mata. Kemudian dia tersenyum-senyum menyindir.
Hati saya rasa terbakar sedikit. Tetapi saya tidak mahu mengalah. Saya tidak akan menunjukkan sebarang emosi marah atau bengang.

Aryati dengan Zurai itu memang sekutu paling akrab. Dalam bab berteman lelaki, mereka selalu sependapat. Sekepala, sama-sama mabuk cinta – memang padanlah apabila mereka berkawan baik di rumah ini.

“Saya tidak perlukan boyfriend. Saya rasa hidup lebih bahagia kalau tak ada boyfriend yang menyusahkan kepala otak!” saya balas selamba.

Wooo! Dua teman itu bersorak.