6/13/09

BUKAN YANG PERTAMA

BUKAN YANG PERTAMA
Terbitan: PTS Litera Sdn Bhd
Tahun: 2008
Muka surat: 782
Harga: RM34

Sinopsis

Yasmin Zulaikha salah seorang daripada ribuan graduan yang bergelar penganggur terhormat. Tiada pilihan lain lalu dia pulang ke kampung, mencipta kerjaya sendiri dengan menyertai program homestay yang diusahakan di desa.

Selain menjadi pengusaha homestay, dia juga berusaha membangunkan ekonomi desa dengan mengambil alih perusahaan kecil milik ibunya yang diusahakan bersama ibu tunggal, Hasniah.

Dia orang muda yang memikul tanggungjawab sebagai usahawan di desa sendiri, bertanggungjawab untuk menjaga ibu yang sudah tua dan harus menjadi contoh teladan yang baik kepada dua orang adik.

Berdepan kerjaya ciptaan sendiri, menuntut dia memahami falsafah di sebalik tugasnya serta tuntutan syarak. Dia cuba memahami tuntutan untuk menjadi tuan rumah yang baik, belajar menjana ekonomi dengan cara sendiri dan cuba menjadi anak muda contoh yang bakal mewarisi kepimpinan desa yang semakin tandus tenaga muda.

Lumrah hidup, tidak sah jika tidak berdepan dengan pelbagai hal peribadi dan urusan kerja. Yasmin Zulaikha berdepan kerenah Anis; remaja perempuan yang memberontak, dia juga harus menangani hal Jason, asalnya tetamu homestay tetapi kemudian kembali semula ke desa kerana tertarik untuk memeluk Islam.

Dia juga berdepan kemelut cinta, apabila dilamar Ustaz Mustakim, duda beranak tiga yang dalam diam juga dicintai oleh rakan perniagaannya, Hasniah.

Namun tanpa sedar, ada keakraban tercipta antara Yasmin Zulaikha dengan Umar Khalil, wartawan yang banyak membantu mempromosikan program homestaynya. Tetapi persahabatan itu pula, rupa-rupanya jadi pencetus api fitnah.

Yasmin Zulaikha wanita muda bersemangat waja, berani menongkah arus, tidak mahu ketinggalan dalam aspek kepimpinan dan pada masa sama berusaha sedaya upaya untuk terus tekal istiqamah di landasan syarak.

*** Novel ‘Bukan Yang Pertama’ – novel karya Salina Ibrahim pernah disiarkan secara bersiri dalam ruangan Bicara Agama, Utusan Malaysia, antara 1 Januari 2007 sehingga 26 Disember 2007

***Dimuatkan juga catatan ‘Dari Hujung Mata Pena’ oleh pengkritik, Dr. Amida Abdulhamid menyentuh pengalaman beliau membaca novel ‘Bukan Yang Pertama’.

***Maklumat lain mengenai ‘Bukan Yang Pertama’ di http://salinaibrahim.blogdrive.com/

end